Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB)
Terakhir dikemas kini pada
16/09/2026
Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) ialah bantuan tunai yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Belanjawan 2026. Bantuan ini bertujuan membantu Orang Kurang Upaya (OKU) yang tidak berupaya bekerja dan menggalakkan OKU untuk terus tinggal bersama keluarga.
Kadar bayaran bagi Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) adalah sebanyak RM300 sebulan kepada setiap penerima yang layak
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Syarat Kelayakan:
i. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
ii. Berumur 16 tahun sehingga 59 tahun;
iii. Pemegang Kad OKU yang berdaftar dengan JKM;
iv. Tidak berupaya bekerja berdasarkan faktor-faktor berikut:
- Kefungsian yang terhad dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria dalam melakukan sesuatu pekerjaan; atau
- Persekitaran yang menghalang pemohon untuk akses kepada pekerjaan
v. Pemohon bukan penghuni / pelatih institusi kendalian JKM; atau Pusat Jagaan Harian / Berkediaman (yang menerima Geran Rangsum) dan menyediakan perkhidmatan / kemudahan secara percuma atau Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK);
vi. Pengesahan ketidakupayaan pemohon untuk bekerja perlu diperolehi daripada Pakar / Pegawai Perubatan / Pengesahan Pakar Psikiatri Kerajaan / Swasta yang Berdaftar bagi kes OKU Mental; atau dalam keadaan tertentu, memadai dengan pengesahan Pegawai JKM dan direkodkan dalam laporan siasatan; (Contoh pengesahan kategori OKU Fizikal ketara seperti kudung dan lain-lain yang bersesuaian);
vii. Pendapatan bulanan individu OKU tidak melebihi kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa.
Nota:
i. Pendapatan merujuk kepada pendapatan dari hasil sewaan, pencen, zakat, sumbangan keluarga, PERKESO, sumbangan dan lain-lain sumber.
ii. Umur pemohon adalah berasaskan tahun kelahiran.
iii. Bagi penerima BTB sedia ada yang berumur 60 tahun dan ke atas (kes yang didaftarkan tahun 2024 dan sebelumnya), DIKECUALIKAN mematuhi syarat umur yang ditetapkan dalam garis panduan ini.
- Permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian. Sila rujuk laman rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
- Pengendalian permohonan bantuan kewangan juga boleh dilakukan di peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara. Setiap permohonan yang didaftarkan akan menjalani siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan pemohon. Urusan ini selaras dengan prinsip penyampaian bantuan yang berasaskan kelayakan dan bukannya hak
- Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian seperti:
- Salinan MyKad Pemohon
- Salinan kad OKU / slip pendaftaran sementara Kad OKU
- Surat / memo pengesahan ketidakupayaan dari Pakar / Pegawai Perubatan Kerajaan / Swasta yang berdaftar / Laporan siasatan Pegawai JKM yang menunjukkan pemohon tidak berupaya bekerja;
- Salah satu salinan bil utiliti seperti bil air / elektrik / telefon / Astro (bagi tujuan pengesahan alamat);
- Surat pengesahan pendapatan (pencen / PERKESO / bantuan Baitulman dan lain-lain); atau
- Akuan pendapatan daripada Penghulu/ Penggawa/ Pemimpin masyarakat atau mana-mana individu yang diangkat atau dipilih untuk memimpin dan mewakili masyarakat di peringkat setempat oleh Kerajaan sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan (Lampiran 4: Borang Pengesahan Pendapatan/ Pekerjaan) jika bekerja sendiri; atau
- Pesuruhjaya Sumpah (jika bekerja sendiri)
- Salinan Penyata akuan bank terkini / slip pengesahan akaun bank terkini; dan
- Lain-lain dokumen sokongan yang berkaitan (jika perlu)
- Borang permohonan / Borang Kaji Semula Bantuan:
- Borang Permohonan JKM 18
- Borang Kaji Semula Bantuan JKM 20
- Borang Pendaftaran OKU
Bantuan lain yang mungkin bersesuaian untuk anda